Sabtu, 05 Desember 2009

memory semalam

Memori Semalam"
Afizah Abdul Rahim NIE (Townsville)

Menyirap darahku seketika apabila melihat kekejaman itu berlaku di depan mataku. Kalaulah aku ni ringan tangan orangnya, sudah tentu aku akan menampar mukanya. Biarkan dia rasa apa yang ku rasai sekarang kerana perbuatan kejam itu. Tergamak sungguh dia menghalau haiwan kecil itu dengan sebatang penyapu dan mengetuk-ngetuk badannya. Apakah dosa sang haiwan itu mendapat layanan seburuk itu? Kehadirannya di depan pintu rumah mereka hanya sekadar ingin berhenti seketika dan menceriakan suasana pagi yang dingin itu. Kenapa begitu ringan sekali tangan mereka melukakan makhluk Allah yang ku sifatkan paling cantik dan comel ini? Hai, entahlah, adakalanya aku tak faham dengan perangai manusia sekarang. Sudah tidak ada perasaan dan berhati perut langsung agaknya, jeritku sendiri dalam hati. Aku hanya mampu menggeleng kepalaku semasa dalam perjalanan keluar rumah untuk ke sekolah pagi itu. Namun, apa yang ku saksikan tadi akan ku ingat buat selama-lamanya. Api kemarahanku pada mereka masih lagi meluap-luap dalam perjalanan ke sekolah. Manusia kejam!!
Dadaku mula rasa sebak seperti hendak menangis rasanya bila ku teringatkan peristiwa tadi. Hatiku menyumpah dan aku masih lagi geram dengan perbuatan mereka. Aku tahu Mas, mungkin kau akan rasa gelihati atau pelik dengar rintihanku kali ini. Aku tak kisah apa yang sedang kau fikirkan di dalam benakmu. Kau nak cakap aku gila, itupun aku tidak ambil pusing. Aku juga tidak peduli kalau orang lain juga akan ketawa bila mengetahui aku marah dan sebak gara-gara seekor kucing yang tersesat dipukul di hadapan rumah tetanggaku. Tapi, aku yakin kalau mereka itu punya hati dan perasaan, mereka akan mengerti mengapa reaksiku begini.
Kau takkan mengerti mengapa haiwan itu terlalu bermakna dan istimewa di dalam duniaku. Janganlah terkejut dengan kenyataanku ini. Bukannya aku tidak mempunyai kekasih hati untuk dicintai tetapi ia mengajarku mengenali erti sebuah kesetiaan dan persahabatan yang sejati. Terus-terang aku katakan padamu bahawa seekor haiwan yang tidak pernah kita kenali dirinya dan fahami kehadirannya telah membuatku lebih menghargai kehadiran seseorang itu di dalam hidupku. Aku juga belajar bahawa haiwan sepertinya juga punya hati dan perasaan seperti kita. Mereka juga ada perasaan kasih dan sayang serta suka dan duka seperti kita juga . Cuma kita saja yang tak pernah mengendahkan dan menghargai kehadiran mereka. Kita terlalu bangga pada diri kita hingga kita lupa bahawa mereka juga punya hak untuk berada di bumi Allah ini.
Ah, apa pulak yang aku celotehkan pagi-pagi buta ni. Asyik dengan falsafah dan kenyataan yang bertubi-tubi, tapi tidak ada cerita yang konkrit sebagai bukti untuk kau mempercayai kata-kataku ini. Maafkan aku kerana dibuai perasaan emosi tadi. Aku hampir-hampir terlupa untuk menceritakan peristiwa di sebalik pertemuanku dengan seekor kucing yang terus menjadi penunggu setiaku ketika dalam perjalanan ke sekolah setiap hari. Aku sedang mencuba menahan sebak di dada kerana apa yang bakal ku ceritakan padamu ini akan membuka kembali satu kisah yang cukup menyayat hati sepanjang sejarah hidupku. Biarpun ia telah pergi meninggalkanku buat selama-lamanya, namun semua kenangan sewaktu bersama dengannya masih segar di dalam ingatanku. Pertemuan terakhirku dengannya merupakan satu detik yang tidak dapat ku lupakan. Aku masih lagi terbayang-bayangkan tubuh kecil itu hadir setiap kali aku ingin memulakan perjalananku ke sekolah untuk mengajar setiap hari.
Dia hadir dalam hidupku secara kebetulan. Waktu itu, aku sedang mengalami tekanan perasaan akibat perbuatan kekasih lamaku, Azman. Madu yang ku beri, tuba yang dibalas!!Sanggup dia mempermainkan hati dan perasaanku selama ini. Sanggup dia meninggalkanku tanpa sebarang berita dan membiarkanku terkapai-kapai sendiri. Yang paling aku sedih sekali, dia tidak pernah menghargaiku sebagai seorang kekasih. Apakah ini balasanku terhadap segala kejujuran dan kesetiaanku ? Aku menangis sendirian di taman .
Mungkin kerana terlalu asyik menangis, tanpaku sedari, ada sepasang mata yang memandang ke arahku. Dalam diam, ia datang menemaniku yang di dalam kesedihan. Ia terus melompat lalu duduk di sebelahku dan mengiau-ngiau kepadaku. Aku tersentak sebentar dan menoleh ke kanan.
Eh, ada kucing putih kat sebelah!! Comelnya!!aku berkata di dalam hati. Aku pun mula tersenyum dan berhenti menangis. Airmata yang mengalir tadi segera ku kesat dengan sehelai tisu. Hatiku terhibur seketika. Ia mengiau lagi dan terus duduk di ribaku lalu menggosokkan kepalanya ke badanku. Aku tahu ia seekor kucing betina sebab telinga kanannya digunting kerana telah dikembirikan. Aku mengusap-usap kepala dan badannya yang berbulu lebat serta bertompok hitam itu. Ia mengiau lagi. Alahai, hilang kesedihanku tadi bila mendengar suaranya itu! Kemudian, aku diajaknya pula untuk bermain kejar-kejar di bawah blok rumahku. Macam kanak-kanak pula lagakku di masa itu. Aku jadi leka dan lupa tentang kesedihanku tadi keranaasyik melayan kerenah kucing tersebut.
Lama-kelamaan, aku sudah mula dapat menerima kenyataan yang pedih bak sembilu itu dengan hati yang tabah dan terbuka. Aku dapat merasakan bahawa ada hikmah di sebalik peristiwa ini. Biarlah kami berpisah dari terus menderita di kemudian hari. Lagipun, dengar khabar, Azman sudah pun ada penggantiku. Mungkin, dia bukan yang terbaik buatku dan aku pula sudah berteman baru! Aku tersenyum sendiri…
Tidak ku sangka bahawa kucing itu amat senang sekali dengan kehadiranku. Kau tahu tak Mas, setiap hari ia setia menantiku di perhentian bas di hadapan rumahku. Aku sungguh hairan bagaimana ia tahu bila masa aku keluar rumah untuk ke sekolah kerana dia akan duduk di bangku perhentian dan menantiku tepat pada waktunya. Tidak!!Aku bukan mereka-rekakan cerita, tapi ini kenyataan dan aku masih lagi mencari jawapannya. Bila ku tiba, ia akan terus mengiau dan menggosok kakiku dengan kepalanya tanda sayang dan gembira dapat bertemu pagi itu. Ramai juga penumpang yang memerhatikan gelagat kami berdua, tapi aku tidak kisah kerana mungkin ini merupakan satu persahabatan yang unik bagi mereka. Anehnya, aku kadang-kadang seperti berbual dengan kucingku, walaupun ku tahu ia tidak akan menjawab pertanyaanku ! Adakalanya, ia akan terkejar-kejar untuk mendapatkan aku dari jarak jauh sebelum melihatku naik bas. Aku tidak berbohong dengan kau. Ini bukan rekaan imaginasiku, tetapi hakikat yang sebenar!!
Lebih hebat lagi, apabila aku pulang ke rumah dari mengajar sekolah sejak pagi ataupun lewat petang, pasti ia sudah berada di perhentian bas yang sama menungguku. Adakah apa yang ku saksikan selama ini hanyalah satu kebetulan, khayalan atau memang ia dapat merasakan kepulanganku??Aku terasa seperti tuan puteri diapit oleh seorang pengawal. Yang pasti, ia akan tetap menyambutku dengan suara yang nyaring dan terlompat-lompat keriangan bila berjumpa denganku. Macam sepasang kekasih yang sedang hangat bercinta, hati riang bila dapat berjumpa. Jika tidak berjumpa pula, saling cari-mencari!!
Diam tak diam, sudah hampir lima bulan aku berkawan dengan kucing itu. Segalanya sungguh indah, hinggalah berlakunya satu peristiwa aneh di antara kami berdua. Semacam ada sesuatu yang tersembunyi dan tersirat. Di sinilah kemuncak persahabatan kami.
Seperti biasa, kami akan berjumpa di perhentian bas sebelum aku ke sekolah. Namun, pada hari itu, ia begitu dingin terhadapku. Usapan dan sentuhan halus jari-jemariku tidak mendatangkan apa-apa kesan dan reaksi padanya. Ia hanya duduk di bangku taman dan terus membisu. Tiada aksi lincah dan suara manjanya yang selalu bermain di telinga dan mataku. Ia enggan bergerak walaupun seinci. Namun, aku nampak ia merenung tepat di wajahku. Lain benar perangai kucingku kali ini. Sesekali, ia memalingkan muka dari melihatku. Kemudian, aku sedar ada manik-manik halus di bola matanya. Seakan-akan sedang di dalam kesedihan dan kesusahan. Kucing menangis?Tidak mungkin! Aku membiarkan saja ia bersendirian. Sakit agaknya, aku berkata di dalam hati. Tapi kenapa renungannya semacam aje?Kehairanan mengisi hati.
Apabila ku pulang, bayangnya pun tidak kelihatan. Terus ghaib entah ke mana. Sekali lagi, aku diburu resah dan kehairanan. Apa pulak yang telah terjadi ni? Mana kucingku??Aku cuba mencarinya tetapi tidak bertemu. Mungkin, ia bertukar angin agaknya, aku memujuk hati. Dengan hati yang berat, aku melangkah lesu pulang ke rumah. Sebelum menaiki lif, aku sempat menjenguk sekiranya ternampak ia sekilas pandang. Namun, pencarianku hari ini gagal jua.
12 Mar 2001 7.45 pagi `
Seorang pemuda Tionghua menyapaku dari belakang di perhentian bas. "Minta maaf cik kalau menganggu, tetapi cik tahu tak bahawa kucing cik dah mati?", dia mula berbicara pagi itu. Aku jadi bingung dan meradang seketika. "Awak jangan nak main-mainkan saya pulak pagi-pagi ini!", aku membalas kata-katanya tadi. Pagi-pagi sudah hendak buat orang marah. Pandai-pandai nak buat cerita. Mana mungkin kucingku mati, bisikku sendiri.
"Kalau tak percaya, tengoklah sendiri di bawah pokok tu, takkanlah saya nak tipu cik. Saya tahu cik dan kucing tu kawan baik!," dia meneruskan bicara sambil menuding jari ke arah sebatang pokok berhampiran dengan tangga laluan blok rumahku. Tanpa memikir panjang, aku pun dengan segera pergi ke pokok tersebut untuk mengesahkan berita tadi. Jantungku mula berdebar. Benarkah apa yang telah dikatakan oleh pemuda tadi?Aku bertanya sendiri.
Alangkah terkejutnya aku seketika melihat bangkai seekor kucing putih yang bertompok hitam terbaring kaku di bawah pokok itu!Bangkainya dipenuhi lalat dan kedua belah matanya tertutup rapat. Ada sekilas senyuman di wajahnya. Bulunya keras dan sepasang kakinya terlipat rapi. Sah!, itulah kucing kesayanganku!Tapi tak mungkin!, baru aku ……..aku terus lari ke perhentian bas semula dan menaiki bas.
Aku terus menangis di dalam perjalanan ke sekolah pagi itu. Hilang moodku untuk berbual dengan sesiapa. Aku tak dapat menahan sebak di dada dan masih lagi menangis di dalam kelas sewaktu mengajar. Aku terpaksa menceritakan hal yang sebenarnya kepada semua anak muridku yang tahu bahawa aku memang sayangkan pada kucing itu. Ibu bapa mereka juga turut bersimpati denganku. Aku terus menangis hinggalah hati dan perasaanku reda untuk meneruskan pembelajaran hari tersebut. Teman-teman seperguruanku juga turut memujukku supaya bersabar di atas kematian kucing itu. Aku terperanjat sekali. Tetapi hatiku hampa kerana aku berniat untuk memberinya makan pada hari tersebut sebagai tanda terimakasih di atas kebaikannya. Namun, dia telah pergi dulu sebelum sempat aku membalas budinya. Itulah yang membuatku terlalu sedih.

Sahabatku Mas, kini sudah hampir enam bulan ia pergi dari duniaku, namun aku masih lagi rindu akan kehadirannya. Aku masih merasakan bahawa seolah-olah ia masih hidup dan masih setia menantiku setiap waktu. Budinya terlalu banyak untuk ku kenang. Ia lebih berperasaan dari sesetengah manusia yang pernah ku temui sepanjang hidupku. Aku pasrah dan redha di atas pemergiannya. Semoga Allah saja yang membalas budinya padaku. Kerana ia, aku belajar supaya lebih positif dan pandai menilai orang dan menghargai kehadiran mereka dalam hidupku. Biarpun, Allah telah menggantikan aku dengan dua ekor kucing yang baru sebagai gantinya untukku, namun kucingku yang mati itu tetap hidup di jiwa ini. Ia tidak pernah ku lupakan.
Beep!Beep! Alat keluiku sudah pun berbunyi berkali-kali sejak dari tadi. Aku terlalu asyik bercerita dengan kau sehingga aku terlupa menjawab panggilan bakal tunangku. Maklumlah, dah tidak kedengaran suaranya. Biarlah aku berhenti di sini buat seketika.
Sekarang, aku yakin kau sudah mengerti mengapa aku begitu marah sekali denganmu kerana memaling batu kepada seekor kucing di hadapanku minggu lalu. Aku terpaksa mengagahkan diri untuk menulis dan menceritakan padamu kisah sebenar ini. Aku harap kau jadikan kisah hidupku ini sebagai iktibar untuk lebih mensyukuri dan menghargai setiap makhluk Allah di bumi ini. Aku hanya mahu kau tahu bahawa haiwan juga ingikan kasih-sayang seperti kita. Selamat malam , Mas.

Yang benar
Sahabat karibmu
Nooratiqah Md Hakim

Tidak ada komentar:

Posting Komentar